Bintang veteran Rishi Kapoor bakal kembali ke layar perak menerusi sebuah filem komedi yang diberi judul "Jhootha Kahin Ka".

Terkini, aktor tersebut sedang menjalani rawatan kanser selama hampir setahun di New York. Dia telah mengumumkan perkara tersebut pada September tahun lalu.

Judul filem itu telah diinspirasi dari filem sama judul lakonan Rishi pada tahun 1979 yang dibintangi isterinya yang juga aktres veteran Neetu Kapoor.

Pembikin telah melancarkan treler filem arahan Smeep Kang itu pada Rabu yang turut menampilkan aktor Sunny Singh dan Omkar Kapoor.

"Kami memerlukan seseorang yang nampak 'mengancam' tanpa mengurangkan elemen lawak dan Rishi sangat sesuai bagi watak itu," ujar pengarah itu dalam laporan IndiaToday.

Aktor filem "Mulk" itu telah selesai menjalani penggambaran filem "Jhootha Kahin Ka" pada Ogos tahun lalu sebelum berangkat ke New York.

Rishi dijangka akan kembali ke India pada penghujung Ogos depan bagi menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-67 pada 4 September.

Pada 1 Mei, rakannya yang juga pembikin filem, Rahul Rawail, mengesahkan bahawa Rishi telah pulih sepenuhnya dari kanser.

Di kesempatan itu, bintang veteran Amitabh Bachchan sempat merakamkan ucapan tahniah buat sahabatnya atas pelancaran filem baru tersebut.

Filem "Jhootha Kahin Ka" bakal ditayangkan pada 19 Julai ini.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

Sumber artikel: India Today
Sumber foto: In.com