Pembikin filem dan aktor veteran Rishi Kapoor dilaporkan bersedia untuk kembali ke set penggambaran filem terbarunya "Sharmaji Namkeen" seperti yang diberitahu oleh penerbit Honey Trehan.

Pada hujung minggu lalu, Rishi difahamkan telah dimasukkan ke wad kerana kekurangan sel darah putih dan terkena jangkitan akibat pencemaran yang berlaku di New Delhi sewaktu penggambaran dijalankan.

"Tiada apa yang perlu dirisaukan. Saya telah pun melawat Rishi di hospital, dia sudah beransur pulih dan dibenarkan keluar dari wad. Rishi akan kembali ke set penggambaran di Mumbai minggu ini," dedah Honey yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Sehubungan dengan itu, Rishi turut memuat naik sebuah entri menerusi laman Twitter yang mana dia mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang mengambil berat tentang kesihatannya.

"Saya mengalami demam biasa dan sewaktu rawatan, doktor menemui punca yang mungkin boleh mengakibatkan pneumonia, tetapi ia telah pun dirawat.

"Saya harap segala spekulasi mengenai kesihatan saya dapat ditamatkan dan saya tidak sabar untuk menghiburkan anda semula. Saya kini berada di Mumbai," tulis Rishi.

Filem "Sharmaji Namkeen" menandakan kemunculan semula Rishi di layar perak selepas hampir setahun menjalani rawatan kanser di Amerika Syarikat pada tahun lalu.

Diarahkan oleh Hitesh Bhatia, filem itu diterbitkan oleh produksi Excel Entertainment milik Ritesh Sidhwani dan Farhan Akhtar dengan kerjasama MacGuffin Pictures oleh Honey Trehan dan Abhishek Chaubey.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Deccan Herald)