Aktor Riteish Deshmukh mendedahkan bahawa dia sentiasa akan mencuba pelbagai genre filem dalam kariernya bagi memastikan dirinya kekal relevan dalam industri perfileman Bollywood.

"Ianya penting untuk kekal relevan walaupun kita terikat dengan genre yang sama. Saya telah membintangi drama seperti "Run" dan filem-filem seram. Dalam erti kata lain, saya sudah terlibat dengan pelbagai genre filem.

"Apabila anda mencuba genre yang baru, penting untuk filem itu berjaya bagi memastikan orang ramai dapat mengingatinya. Orang ramai mudah lupa pada filem yang kurang mendapat sambutan.

"Jadi ia penting untuk kekal relevan kerana pilihan penonton sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Sebagai aktor, kami bernasib baik kerana akan sentiasa ada watak-watak baru yang ditawarkan," jelasnya yang dipetik dari Times of India.

Menurut bintang filem "Marjaavaan" itu lagi, dia banyak mempelajari perkara baharu setiap hari menerusi pilihan serta pengalaman berlakon dalam filem, membuatkan dirinya semakin matang.

Untuk rekod, antara filem yang pernah dibintangi aktor itu ialah "Masti", "Malamaal Weekly", "Apna Sapna Money Money", francais "Dhamaal" dan "Housefull" serta "Ek Villain".

Terbaru, Riteish bakal kembali ke layar perak menerusi filem aksi thriller bersiri "Baaghi 3" arahan Ahmed Khan. Turut menampilkan Tiger Shroff dan Shraddha Kapoor, filem itu akan dirilis pada 6 Mac 2020.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Riteish Deshmukh Instagram)
(Sumber artikel: Times of India)