Tidak kira besar atau kecil, kemalangan sememangnya tidak dapat dielakkan, begitulah yang berlaku kepada aktres Sai Tamhankar yang cedera di bahagian kaki kirinya baru-baru ini.

Menurut laporan dari Mumbai Mirror, kaki Sai terseliuh ketika dia ingin berangkat pulang ke hotel selepas selesai menjalani penggambaran bagi filem terbarunya "Mimi".

"Saya sangat bimbang apabila mendapat tahu kesakitan yang dialami sebenarnya berpunca akibat tulang patah. Saya tak mahu jadual penggambaran terganggu.

"Jadi saya masih meneruskan penggambaran bersama pengarah kami yang memikirkan sudut pandang lain untuk babak saya," ujar aktres berusia 33 tahun itu.

Sai kemudiannya dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini keadaannya dilaporkan dalam keadaan stabil serta perlu berehat sementara sehingga pulih.

Menerusi filem arahan Laxman Utekar itu, Sai akan berkongsi skrin dengan pelakon lain seperti Kriti Sanon, Pankaj Tripathi, Manoj Pahwa dan Supriya Pathak.

Diterbitkan oleh Dinesh Vijan di bawah produksi Maddock Films dan Jio Studios, "Mimi" akan menemui penonton di pawagam pada bulan Julai 2020.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Sai Tamhankar Instagram)