Setelah sekian lama membintangi filem-filem Marathi, kini aktres Sai Tamhankar kembali menjayakan filem Hindi terbaru arahan Laxman Utekar berjudul "Mimi".

Menerusi filem yang menceritakan kisah ibu tumpang itu, Sai meluahkan perasaan teruja kerana berpeluang untuk berkongsi skrin bersama aktor Pankaj Tripathi dan aktres Kriti Sanon.

"Saya menyukai Pankaj sebagai aktor dan sudah lama saya meminati hasil kerjanya. Ia satu pengalaman manis buat saya untuk bekerja dengan Pankaj dan saya akan menghargai masa saya bersamanya.

"Kriti pula seorang aktres gandingan yang sangat bagus. Perwatakannya menarik dan dia adalah seorang aktres yang bersikap jujur. Saya senang hati dapat bekerja dengannya," ujar Sai yang dipetik dari Times of India.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, "Mimi" diinspirasikan dari sebuah filem Marathi berjudul "Mala Aai Vhhaychy!" yang diterbit, ditulis serta diarahkan oleh Samruoddhi Porey.

Filem yang dibintangi oleh Urmila Kanitkar dan Stacy Bee itu ditayangkan pada 11 Februari 2011. Ia berjaya dinobatkan sebagai Filem Cereka Marathi Terbaik di Anugerah Filem Nasional.

Diterbitkan oleh Dinesh Vijan di bawah produksi Maddock Films dan Jio Studios, "Mimi" akan menemui penonton di pawagam pada bulan Julai 2020.

Dalam perkembangan lain, Sai sedang menantikan tayangan filem Marathi terbarunya "Ashleel Udyog Mitra Mandal" arahan Alok Rajwade pada 6 Mac 2020.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Sai Tamhankar Instagram)