Anak kepada pembikin filem terkenal Mahesh Manjrekar, Saiee, sudah bersedia untuk bergelar aktres dan bakal membintangi filem debutnya bersama Salman Khan, "Dabangg 3".

"Hari di mana saya dipilih untuk membintangi "Dabangg 3" merupakan hari paling bermakna dalam hidup saya. Saya akan sentiasa mengingatinya.

"Bekerja dengan Salman merupakan pengalaman hebat buat saya dan dia telah memberikan pelbagai tunjuk ajar yang akan saya gunakan sepanjang hidup saya.

"Walaupun tanggungjawab ini agak berat, saya akan cuba membuat bapa saya bangga dan lakukan yang terbaik kerana Salman dan Prabhu Deva percayakan saya untuk galas watak ini," katanya yang dipetik dari Times of India.

Selain Salman, Saiee turut menerima tunjuk ajar daripada peneraju utama wanita, Sonakshi Sinha, sepanjang penggambaran berlangsung.

Dalam pada itu, Saiee mendedahkan bahawa dia mengangkat aktres Alia Bhatt sebagai idola atas sikap dedikasi, rajin dan kejujuran dalam kerjanya serta sentiasa menjadi diri sendiri.

Beralih ke perkembangannya, Saiee kini dilihat sibuk mempromosikan filem "Dabangg 3" bersama peneraju-peneraju utama filem.

Diarahkan oleh Prabhu Deva, filem itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Sudeep, Arbaaz Khan, Amole Gupte, Mahie Gill, Tinnu Anand serta penampilan istimewa Mahesh Manjrekar.

Filem "Dabangg 3" adalah terbitan hasil kerjasama Salman Khan, Arbaaz Khan dan Nikhil Dwivedi. Ia bakal menggegarkan pawagam bermula 20 Disember ini.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Saiee Manjrekar Instagram)
(Sumber artikel: Times of India)