Sepertinya kontroversi berkenaan filem "Adipurush" belum berakhir apabila aktor Bollywood Saif Ali Khan bakal berdepan tindakan undang-undang susulan kenyataannya yang menyentuh sensitiviti agama.

Sehubungan dengan itu, seorang peguam dari Uttar Pradesh telah memfailkan kes terhadap Saif serta pengarah filem itu, Om Raut, di mahkamah Ketua Majistret Kehakiman Tambahan (ACJM), Jaunpur.

Memetik laporan dari Hindustan Times, mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan pada 23 Disember ini.

Terdahulu, Saif yang membawa watak Lankesh seperti Raja Syaitan Raavan, mengeluarkan kenyataan dalam satu temu bual bahawa filem bajet besar itu akan memaparkan sisi baik Raavan.

Walau bagaimanapun, orang ramai tidak bersetuju dengan kenyataannya kerana ia berbeza dengan kepercayaan Hindu, serta meminta supaya Saif digugurkan dari filem tersebut.

Menyedari akan kesilapannya, Saif telah pun mengeluarkan kenyataan bagi memohon maaf atas ketelanjuran katanya sehingga mencetuskan kontroversi dan menyakiti sentimen ramai pihak.

Selain Saif, filem "Adipurush" turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Prabhas dan Kriti Sanon sebagai watak utama. Ia dijangka tayang pada 2022.

(Sumber foto: Inside Chronicle)