Berita kematian aktor Sushant Singh Rajput bukan sahaja mengejutkan orang ramai, malah mendedahkan segelintir pihak yang bersifat hipokrit seperti yang dikatakan bintang terkenal Saif Ali Khan.

"Ramai pihak yang terlalu cepat memberi pendapat dan apa yang saya lihat adalah segelintir pihak cuba mengambil kesempatan atas tragedi sedih ini, sama ada dari sudut minat atau politik.

"Saya dapati ramai pihak yang bercakap buruk tentang perkara ini di media sosial dan ia patut dihentikan. Ia sangat memalukan.

"Lebih baik kita memperingatinya dengan berdiam diri sehari dari meluahkan kasih sayang daripada pihak yang sememangnya tak kisah tentang dia atau orang lain.

"Berpura-pura kisah tentang dia menandakan mereka hipokrit dan ia bagaikan menghina dia yang sudah tiada. Kalau tiada apa yang ingin disuarakan, lebih baik diam sahaja," ujarnya yang dipetik dari Firstpost.

Tambah bintang filem "Jawaani Jaaneman" itu lagi, kata-kata yang diluahkan sekarang tiada makna lagi jika Sushant sudah tiada dan berasa kecewa kerana orang-orang dalam industri filem tidak boleh berfikir di luar kotak.

Untuk rekod, Sushant pernah digandingkan bersama anak Saif iaitu aktres Sara Ali Khan menerusi filem "Kedarnath" (2018), yang juga menandakan debut Sara dalam dunia Bollywood.

(Sumber: Firstpost)
(Sumber foto: Pinkvilla)