Bintang Bollywood Salman Khan terus berusaha membantu golongan terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan mengajak para peminatnya untuk sama-sama menyertai cabaran 'Anna Daan'.

Sehubungan dengan itu, bintang filem "Dabangg 3" berkenaan telah berkongsikan foto dua rakannya Baba Siddique dan Zeeshan Siddique yang menyusun barangan keperluan untuk diagihkan kepada 125,000 keluarga.

"Baba Siddique dan Zeeshan Siddique telah mencatu barangan kepada 125,000 keluarga. Inilah cabaran yang kita sepatutnya sertai. Cabaran 'Anna Daan'," tulisnya di laman Twitter.

Sejak Perintah Berkurung dilaksanakan di India, Salman tidak pernah berhenti daripada terus menasihati orang ramai supaya menjaga keselamatan diri serta berkongsi langkah-langkah mencegah wabak COVID-19.

Terdahulu, Salman telah melancarkan lagu serta video muzik terbarunya berjudul "Pyaar Karona" menerusi saluran YouTube untuk menyebarkan kesedaran mengenai pandemik COVID-19.

Selain itu, Salman turut membantu para pekerja industri filem yang terjejas susulan Perintah Berkurung dengan kerjasama Persekutuan Pekerja Cine India Barat (FWICE).

Usaha Salman dalam membantu orang ramai seringkali mendapat perhatian para peminatnya di media sosial yang sentiasa memberi penghargaan serta mendoakan kesejahteraan hidupnya.

(Sumber: Salman Khan Twitter)
(Sumber foto: Salman Khan Twitter)