Bintang Bollywood Salman Khan bakal menerbitkan sebuah filem berlatar belakang dewan perkahwinan di bawah syarikat produksinya Salman Khan Films (SKF).

"Ia berkisar mengenai kehidupan sepasang adik beradik lelaki di Delhi. Buat masa ini filem itu diberi judul "Bulbul Marriage Hall", ujar satu sumber terdekat.

Laporan dari India Today menyatakan bahawa filem tersebut bakal diarahkan oleh Rohit Nayyar yang pernah mengarah filem "Shadow" 2009 dibintangi Milind Soman, Sonali Kulkarni and Hrishitaa Bhatt.

Buat masa ini, pembikin filem beserta pihak produksi sedang mencari pelakon untuk diuji bakat dan sesi penggambaran dijangka bermula pada Oktober depan.

Dalam pada itu, jadual kerja Salman dilihat padat dengan beberapa buah filem terbaru termasuk "Dabangg 3" di mana penggambaran telah selesai dijalankan sebanyak 60 peratus.

Selain membintanginya, Salman juga bertindak sebagai penerbit bagi filem aksi bersiri arahan Prabhu Deva tersebut. Ia turut menampilkan Sudeep dan Sonakshi Sinha.

Di samping "Dabangg 3", Salman akan bergandingan bersama Alia Bhatt untuk menjalani penggambaran bagi filem "Inshallah" arahan Sanjay Leela Bhansali yang akan ditayangkan pada Aidilfitri 2020.

Penggambaran filem itu akan dijalankan di beberapa lokasi di Amerika Syarikat iaitu Miami dan Orlando.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber artikel: India Today)
(Sumber foto: Salman Khan Twitter)