Berikutan kerajaan India melaksanakan Perintah Berkurung akibat pandemik COVID-19, bintang filem Salman Khan membantu para pekerja industri filem dengan menyalurkan wang tunai menerusi akaun simpanan mereka.

Menurut laporan dari India.com, Salman telah meminta nombor akaun seramai seramai 25, 000 orang pekerja menerusi Persekutuan Pekerja Cine India Barat (FWICE) untuk menyumbangkan gaji bulanan mereka.

"Yayasan Salman's Being Human telah menghubungi kami pada Sabtu lalu untuk bertanyakan tentang gaji harian pekerja-pekerja ini. Saya memberitahu mereka gaji pekerja adalah kira-kira Rs 15, 000 (kira-kira RM860) sebulan.

"Kemudian mereka memberitahu kami yang Salman ingin butiran akaun 25, 000 orang pekerja ini untuk membiayai mereka.

"Salman juga menyumbangkan Rs 5 lakh (kira-kira RM28, 600) setiap bulan untuk membiayai kos perubatan mereka," jelas Setiausaha Agung FWICE, Ashok Dubey.

Walau bagaimanapun, bapa Salman yang juga seorang penulis skrip veteran, Salim Khan, enggan mendedahkan jumlah sumbangan tersebut.

Dalam perkembangan lain, baru-baru ini Salman telah kehilangan anak saudaranya Abdullah Khan yang meninggal dunia di sebuah hospital di Mumbai pada usia 38 tahun.

Menurut bintang filem "Dabangg 3" itu menerusi laman sosialnya, Abdullah disahkan meninggal dunia akibat masalah jantung. Salman turut dilihat memuat naik fotonya bersama Abdullah.

Seperti yang dilaporkan, sebelum ini Abdullah juga menghidap penyakit diabetes dan dimasukkan ke wad selepas dia mengadu rasa tidak sedap badan.

Walaupun Abdullah tidak pernah terlibat dengan dunia seni seperti Salman, namun Salman sering menampilkannya dalam video-video yang dimuat naik menerusi laman sosial.

(Sumber: India.com)
(Sumber foto: Latestly)