Bintang Bollywood terkenal Salman Khan dan Aamir Khan bakal disatukan semula dalam sekuel filem klasik 1994 berjudul "Andaz Apna Apna".

Sehubungan dengan itu, berita tersebut menyangkal ura-ura yang mengatakan bahawa Varun Dhawan dan Ranveer Singh akan membintangi filem tersebut.

Menurut laporan dari IndiaToday, penulis skrip asal filem itu, Dilip Shukla berkata dia kini sedang menghasilkan skrip bagi sekuel filem berkenaan.

"Saya kini sedang menulis skrip sekuel filem dan ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Saya perlu menonjolkan sesuatu yang lebih menarik berbanding filem sebelumnya.

"Sekuel ini tidak akan lengkap tanpa Salman Khan dan Aamir Khan. Terdapat juga tiga orang pelakon baru yang akan turut serta menjayakannya," jelas penulis filem "Dabangg" itu.

Bagaimanapun pada Januari lalu, satu sumber terdekat berkata filem yang bakal dihasilkan itu bukanlah sebuah sekuel mahupun 'remake'.

Tambah sumber itu lagi, penerbit Vinay dan Priti Sinha belum memutuskan perkara itu namun menjelaskan ia adalah sesuatu yang menarik.

Penerbit berbuat demikian kerana menganggap filem asal "Andaz Apna Apna" adalah sebuah naskhah hebat dan tidak boleh dirosakkan oleh sekuel atau 'remake'.

Buat masa ini, pembikin filem sedang mengatur segala perancangan mengenai pembikinan filem itu dengan teliti sebelum membuat pengumuman rasmi.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

Sumber artikel: India Today
Sumber foto: DNA India