Seperti sedia maklum, bintang Bollywood terkenal Salman Khan akan kembali bekerja dengan mengacarakan program popular "Bigg Boss" musim ke-14 yang mula bersiaran pada Oktober ini.
Sebelum tayangan perdana program itu bermula, Salman telah memberi sedikit sedutan bagaimana rekaan 'rumah' "Bigg Boss 14" menerusi sebuah sidang media yang diadakan secara virtual pada Khamis.
Apa yang menarik dalam program kali ini adalah 'rumah' "Bigg Boss 14" tampil lebih berbeza, lengkap dengan sebuah restoran, spa, panggung wayang dan pusat beli belah buat kali pertamanya!
"Kejayaan "Bigg Boss" musim lalu adalah punca kami ingin meneruskannya. Dan beberapa minggu selepas itu, seluruh dunia menjadi seperti 'rumah' "Bigg Boss".
"Apa yang bezanya, para penonton akan duduk di rumah masing-masing dan mengikut peraturan "Bigg Boss". Anda mesti terfikir bagaimana "Bigg Boss 14" akan disiarkan pada 2020.
"Segala apa yang anda rindukan ketika perintah berkurung, kini akan berada di "Bigg Boss 14". Kami tidak meninggalkan sedikit butiran pun. Ini adalah musim di mana impian menjadi kenyataan.
"Bilakah kali terakhir anda menikmati rawatan di spa? Atau menonton filem di panggung wayang sambil makan 'popcorn' dan samosa? Atau membeli belah?
"'Rumah' "Bigg Boss" kini dilengkapi sebuah restoran, spa, panggung wayang dan pusat beli belah sesuai dengan keadaan pada 2020," katanya yang dipetik dari video promosi menerusi NDTV.
Terdahulu, bintang filem "Dabangg" itu dikatakan telah menerima bayaran kira-kira Rs20 crore (lebih RM11 juta) untuk setiap episod "Bigg Boss", menjadikan jumlahnya mencecah hampir Rs250 crore (lebih RM141 juta).
Beralih ke perkembangan lakonan, Salman akan kembali ke layar perak dengan filem "Radhe: Your Most Wanted Bhai" dan akan terlibat dengan penggambaran filem ketiga francais "Tiger" pada 2021.
(Sumber: NDTV)
(Sumber foto: Telly Chakkar & Colors TV Instagram)