Selepas menarik diri secara rasmi daripada filem Sanjay Leela Bhansali "Inshallah" baru-baru ini, pelbagai pihak telah membuat spekulasi bahawa filem Salman Khan yang bakal dirilis pada Aidilfitri 2020 adalah "Radhe".

Walau bagaimanapun, Salman telah menafikan spekulasi tersebut namun memberi pengesahan yang mana dia akan berkolaborasi dengan pengarah dan penerbit Prabhu Deva bagi filemnya yang akan datang.

"Saya dan Prabhu Deva akan bekerjasama untuk sebuah filem sekali lagi tetapi ia bukan berjudul "Radhe". Ia akan dirilis pada Aidilfitri kelak," jelasnya yang dipetik dari Times of India.

Sementara, terdapat pernyataan yang dikeluarkan oleh satu sumber terdekat mengatakan filem "Radhe" akan diteruskan dan kini proses pra produksi dan penghasilan skrip sedang dijalankan.

""Radhe" adalah 'remake' filem Korea berjudul "The Outlaws" dan Salman akan membawa watak seorang pegawai polis di dalamnya. Buat masa ini para pembikin akan mencuba sehabis baik untuk menyusun semula jalan cerita serta mengurangkan kandungan berunsur ganas dan seksual yang terdapat dalam skrip asal.

"Proses itu sangat memakan masa tetapi kumpulan produksi bekerja siang dan malam untuk menyiapkan skrip. Kami tiada masa untuk mencari skrip baru kerana kami harus bersedia dengan sebuah filem pada 22 Mei 2020," dedah sumber itu.

Disoal mengenai Salman yang menafikan berita tentang filem itu, sumber itu berkata mereka berkemungkinan akan mengubah ejaan "Radhe" dan mengesahkan ia adalah filem Salman yang akan dirilis selepas "Dabangg 3".

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Economic Times)
(Sumber artikel: Times of India)