Biarpun tiada filemnya yang ditayangkan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, namun bintang terkenal Salman Khan menggantikannya dengan pelancaran lagu berjudul "Bhai Bhai" buat para peminat.

Menerusi lagu itu, Salman ingin menyampaikan mesej penting berbentuk perpaduan dan keharmonian antara masyarakat beragama Hindu dan Islam di seluruh dunia bagi meraikan perayaan tersebut.

"Memandangkan kami tidak dapat meriliskan filem kami pada Aidilfitri ini, saya telah menghasilkan sebuah lagu istimewa buat semua peminat saya. Ia berjudul "Bhai Bhai" dan meraikan semangat perpaduan.

"Aidilfitri merupakan hari yang terbaik untuk melancarkan lagu ini memandangkan ia adalah perayaan yang menyatukan kita semua.

"Saya harap orang ramai dapat menikmati lagu ini sama seperti ketika saya menghasilkannya untuk mereka semua," ujarnya yang dipetik dari The Indian Express.

Sehubungan dengan itu, "Bhai Bhai" menandakan lagu ketiga yang dilancarkan oleh Salman sepanjang tempoh Perintah Berkurung, di mana dia merakamkan video muzik setiap lagu berkenaan di rumah ladangnya di Panvel.

Sebelum ini, Salman telah melancarkan dua buah lagu barunya iaitu "Pyaar Korona" dan "Tere Bina" yang turut menampilkan aktres dan rakan baiknya Jacqueline Fernandez.

Bintang filem "Dabangg 3" itu juga menyampaikan ucapan penghargaan buat para peminat yang setia menyokong lagu-lagu terbarunya menerusi laman Twitter dan Instagram.

(Sumber: The Indian Express, Salman Khan Twitter)
(Sumber foto: Salman Khan Instagram)