Selepas disahkan bakal membintangi sekuel filem klasik "Sadak" iaitu "Sadak 2", bintang veteran Sanjay Dutt memberitahu dia mengagumi visi pengarah Mahesh Bhatt untuk filem tersebut.

"Visi Bhatt kekal sama seperti dahulu. Dia masih mencari kesempurnaan dalam setiap babak dan minatnya terhadap pembikinan filem kekal utuh selama bertahun-tahun.

"Saya gembira dapat terlibat dalam "Sadak 2" dan bekerjasama dengan Bhatt semula," ujar Dutt menerusi laporan DNA India.

Malah sebelum ini juga Dutt pernah meletakkan syarat supaya Bhatt perlu mengarah filem itu atau dia tidak akan bersetuju untuk membintanginya.

Sehubungan dengan itu, ia merupakan kemunculan semula Bhatt di bangku pengarah selepas menyepikan diri selama dua dekad, sekaligus menamatkan penantian peminat untuk melihat Dutt dan Bhatt kembali bekerjasama.

Menerusi "Sadak 2", Dutt akan kembali menjayakan watak Ravi, lelaki yang mengalami kemurungan. Dia kemudian telah membantu seorang wanita yang mahu mendedahkan seorang guru palsu yang mengendalikan ashram.

Selain Dutt, "Sadak 2" turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Pooja Bhatt, Aditya Roy Kapur dan Alia Bhatt sebagai peneraju utama.

Diterbitkan oleh Mukesh Bhatt di bawah syarikat produksi Vishesh Films dan Fox Star Studios, "Sadak 2" dijangka akan menemui penonton pada 10 Julai 2020.

Selain "Sadak 2", Dutt juga mempunyai beberapa filem lain dalam tangan termasuk "Shamshera", "Bhuj: The Pride of India" dan "K.G.F: Chapter 2".

(Sumber: DNA India)
(Sumber foto: The Economic Times)