Bersempena dengan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada 29 Julai, bintang Bollywood Sanjay Dutt telah mengumumkan berita baik buat para peminat, iaitu filem baru yang bakal dibintanginya.

Berikutan perkara itu, Sanjay turut mendedahkan watak dan penampilan barunya dalam filem tersebut menerusi poster 'teaser' yang dimuat naik di laman sosial miliknya.

Sanjay yang membuat debut dalam industri filem Sandalwood, akan menggalas watak antagonis utama bernama Adheera dalam filem bajet besar dinanti ramai itu.

"Karakter Adheera dalam "K.G.F" adalah sangat kuat. Jika anda telah menonton "Avengers", pasti anda tahu betapa kuatnya Thanos. Kekuatan Adheera sama seperti dia.

"Dalam prekuel, karakter Adheera hanya keluar pada pengakhiran cerita, tetapi dalam filem kedua, penampilannya lebih banyak. Inilah karakter yang saya nanti-nantikan dan akhirnya saya berpeluang untuk menjayakannya," katanya.

Menurut laporan yang dipetik dari The Indian Express, pembikin filem dan aktor Farhan Akhtar telah membantu dalam menerbitkan filem itu dibawah syarikat produksinya, Excel Entertainment.

"Semasa kecil, saya dapat melihat Sanjay menjalani penggambaran filem debutnya "Rocky" dan setelah sekian lama akhirnya saya dapat berkolaborasi dengan dia dalam sebuah projek yang istimewa," kata Farhan.

Menerusi filem itu, Sanjay akan dilihat berkongsi skrin bersama aktor terkenal Kannada, Yash, yang meneraju sebagai watak protagonis.

Francais "K.G.F" ditulis dan diarahkan oleh Prashanth Neel. Berlatar belakangkan tahun 1980-an, ia berkisar mengenai perebutan kuasa antara penjenayah-penjenayah yang ingin berkuasa atas lombong emas di Kolar, Karnataka.

Biarpun tarikh rilis masih belum ditentukan, namun pembikin filem memberitahu bahawa filem itu akan ditayangkan dalam versi Hindi, Tamil, Telugu dan Malayalam.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber artikel: The Indian Express)
(Sumber foto: DNA India