Biarpun berdepan cabaran untuk bergelar seorang aktres, namun perkara itu tidak menjadi masalah buat Sanya Malhotra yang memberitahu dia tidak menyesal memilih jalan hidup sebegitu.

Menurut Sanya, ibunya kurang bersetuju dengan keputusannya untuk menceburi bidang lakonan kerana tidak yakin dengan karier sebagai aktor kerana lebih mementingkan pelajaran.

"Bapa saya tiada masalah pun, cuma ibu saya yang perlu masa. Ibu saya sering merujuk kepada filem "Ta Ra Rum Pum" di mana karier watak Saif Ali Khan dan Rani Mukerji tidak berjaya kerana kurang pendidikan.

"Jadi dia sering menasihatkan saya untuk menyambung ijazah sarjana kemudian berpindah ke Mumbai untuk melakukan apa yang saya mahu.

"Namun selepas graduasi, saya rasa pendidikan saya sudah mencukupi jadi saya ingin lakukan sesuatu yang boleh menggembirakan hidup saya," ujarnya yang dipetik dari Bollywood Life.

Tambah aktres filem "Badhaai Ho" itu lagi, sehingga kini ibunya masih menasihatinya supaya menyambung pengajian peringkat tinggi, malah menyuruhnya menyertai kelas dalam talian ketika tempoh kuarantin.

Kali terakhir Sanya dilihat membintangi filem adalah menerusi "Photograph" arahan Ritesh Batra. Dalam perkembangan baru, dia kini mempunyai tiga projek filem baru dalam tangan.

Sanya bakal tampil dalam filem "Ludo" arahan Anurag Basu dan filem biopik "Shakuntala Devi" arahan Anu Menon, yang mana kedua-dua kini dalam proses pos produksi.

Selain itu, Sanya juga sedang berehat dari penggambaran filem komedi terbitan Ekta Kapoor berjudul "Pagglait", yang kini ditangguhkan sehingga situasi pandemik COVID-19 terkawal.

(Sumber: Bollywood Life)
(Sumber foto: Postoast)