Aktres Sanya Malhotra telah mengumumkan pembikinan projek filem barunya berjudul "Pagglait" yang diarahkan oleh Umesh Bist.

Baru-baru ini, aktres itu dilihat memuat naik foto di sebalik tabir hari pertama penggambaran filem itu menerusi laman Instagram miliknya.

Walau bagaimanapun, laporan dari Bollywood Hungama menyatakan setakat ini pembikin filem masih belum mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai filem tersebut.

Diterbitkan oleh Guneet Monga di bawah syarikat produksi Sikhya Entertainment, filem "Pagglait" dijangka akan ditayangkan pada 2020.

Beralih ke perkembangan lain, Sanya akan membintangi sebuah filem biopik baru mengenai penulis dan pakar Matematik terkenal Shakuntala Devi berjudul "Shakuntala Devi Human Computer".

Dalam filem tersebut akan menyaksikan Sanya bakal berlakon di samping aktres Vidya Balan dan Jisshu Sengupta. Dia diberikan tanggungjawab untuk membawa watak anak perempuan Shakuntala Devi bernama Anupama Banerji.

Selain itu, dia juga telah dipilih untuk menerajui sebuah filem komedi gelap garapan Anurag Basu yang masih belum diberi judul, di mana dia akan bergandingan dengan Aditya Roy Kapur.

(Sumber foto: imdb)

(Sumber artikel: Bollywood Hungama)