Selepas mengumumkan filem terbarunya "Atrangi Re", aktres Sara Ali Khan mendedahkan bahawa dia akan menggalas dua watak yang datang dari dua era berbeza dalam filem tersebut.

Sehubungan dengan itu, spekulasi mengenai siapa aktor yang bakal menjadi 'kekasih' Sara terjawab apabila laporan mengatakan aktor Akshay Kumar dan Dhanush akan digandingkan dengannya.

"Walaupun "Atrangi Re" adalah kisah cinta biasa yang diselitkan dengan komedi, namun pembikin filem mencuba sesuatu yang berbeza dan belum pernah diterokai untuk jalan ceritanya.

"Jalan ceritanya mengisahkan dua kisah cinta dari dua zaman yang berbeza. Sara akan membawa dua watak, sekaligus menampilkan dua sisi berbeza aktres itu," dedah satu sumber yang dipetik dari Bollywood Life.

Menurut pengarah Aanand L. Rai, pelakon-pelakon berkenaan akan menjayakan watak yang belum pernah dilihat di layar perak sebelum ini kerana ketiga-tiganya mempunyai ciri-ciri dan pengembaraan mereka tersendiri.

Sesi penggambaran akan bermula pada bulan Mac, sementara Akshay pula akan menyertai Sara dan Dhanush di set pada pertengahan April dan ia dijangka akan tamat pada Julai.

Diterbitkan oleh Bhushan Kumar di bawah produksi T-Series, "Atrangi Re" bakal ditayangkan di pawagam pada 14 Februari 2021.

Dalam perkembangan lain, Sara yang baru-baru ini membintangi filem "Love Aaj Kal" akan tampil menerusi filem "Coolie No. 1" bersama Varun Dhawan pada 1 Mei 2020.

(Sumber: Bollywood Life)
(Sumber foto: Sara Ali Khan Instagram)