Aktres Sara Ali Khan meminta orang ramai supaya tidak membandingkan filem terbarunya "Love Aaj Kal" dengan filem lakonan bapanya Saif Ali Khan yang sama judul 11 tahun yang lalu.

Sejak treler filem romantik itu dilancarkan pada Januari, Sara terpaksa berdepan beberapa kritikan yang mengatakan filem bapanya lebih bagus daripada filem yang baru, serta lakonan Sara dikatakan keterlaluan.

Walau bagaimanapun, dia memandang perkara itu dari sudut yang positif serta menganggap ia sebagai satu cabaran baru dalam kariernya sebagai seorang pelakon.

"Saya menghormati setiap pendapat yang dikeluarkan mengenai saya tetapi saya berharap orang ramai tidak membandingkannya dengan filem 2009 itu. Kami berada dalam industri filem dan berani mengambil risiko.

"Hadirnya saya bukan untuk memuaskan hati semua orang. Jadi saya hanya melakukan apa yang baik untuk diri saya. Saya menerima tawaran filem ini sebelum saya membaca skripnya.

"Saya turut bertanyakan kepada pengarah mengapa tidak menamakan filem ini "Love Aaj Kal 2". Dia memberitahu bahawa konsep filem ini relevan dan tiada tempoh masa tertentu. Ia mengetengahkan kisah cinta dari generasi berbeza," jelasnya yang dipetik dari Mid-Day.

Diarahkan oleh Imtiaz Ali, filem "Love Aaj Kal" menggandingkan Sara bersama aktor Kartik Aaryan. Filem romantik itu bakal menemui penonton di pawagam pada 14 Februari ini.

(Sumber: Mid-Day)
(Sumber foto: Social News XYZ)