Belum selesai kes tentang aktres Rhea Chakraborty yang juga kekasih aktor Sushant Singh Rajput, kini aktres Sara Ali Khan pula menjadi buah mulut orang ramai apabila dia dilaporkan pernah bercinta dengan aktor tersebut.
Pendedahan itu dibuat oleh salah seorang rakan baik Sushant iaitu Samuel Haokip menerusi satu perkongsian panjang yang dimuat naik menerusi laman Instagram miliknya pada Ogos lalu.
Seperti yang didedahkan oleh Samuel, hubungan Sushant dan Sara semakin rapat setelah mereka disatukan dalam filem "Kedarnath" yang ditayangkan pada dua tahun lalu. Malah, mereka turut dikatakan sedang bercinta sewaktu sibuk mempromosikan filem tersebut.
Baru-baru ini, dalam sesi soal siasat, Rhea mendedahkan bahawa Sushant pernah pergi bercuti dengan sekumpulan rakan lelakinya di Bangkok, Thailand, dan membelanjakan wang sebanyak Rs 70 lakh (hampir RM400 ribu) untuk mereka.
Namun begitu, memetik laporan dari Bollywood Life, apa yang lebih mengejutkan adalah apabila bekas pembantu Sushant, Sabir Ahmed, tampil membuat pendedahan bahawa Sara juga ada bersama mereka sepanjang percutian itu.
"Sara adalah rakan baik kepada Sushant. Mereka berkawan selepas membintangi "Kedarnath". Kami nampak keserasian mereka tetapi kami tak pasti jika mereka sedang bercinta ataupun tidak.
"Kami pergi bercuti ke Thailand pada 30 Disember 2018, selama tiga hari. Sushant berada dalam keadaan baik sepanjang percutian itu. Tiada isu yang berlaku. Dia sendiri yang merancang percutian tahun baru itu.
"Kami menginap di sebuah pulau dan tak banyak keluar kecuali ada satu hari kami pergi berenang. Percutian itu melibatkan tujuh orang iaitu Sushant, Sara Ali Khan, Siddharth Gupta, Kushal Zaveri, Abbas, pengawal peribadi Mushtap dan saya," ujar Sabir.
Tambahan lagi, Sushant turut dilaporkan telah menyewa sebuah penerbangan khas buat Sara untuk percutian itu hanya kerana dia tidak mahu orang ramai tahu mengenai hubungan mereka dan Samuel telah diminta untuk menjemput Sara di lapangan terbang.
Hingga kini orang ramai, terutamanya para peminat, masih tertanya-tanya jika segala pendedahan yang dibuat oleh Samuel dan Sabir adalah benar ataupun palsu.
Segelintir daripada mereka juga menasihatkan Samuel supaya tidak mendedahkan butiran peribadi tentang Sushant dan menghormati segala keputusannya.
Sushant disahkan meninggal dunia di kediamannya pada 14 Jun lalu selepas membunuh diri kerana dipercayai mengalami kemurungan. Kes kematiannya masih berada dalam siasatan Biro Siasatan Pusat India (CBI).
(Sumber: Bollywood Life)
(Sumber foto: News18 & News24)