Aktres Sara Ali Khan memberitahu bahawa dia ingin mencabar diri untuk berlakon dalam pelbagai jenis genre filem pada masa akan datang.

"Saya ingin mencuba semuanya! Berpeluang untuk berlakon dalam "Kedarnath" dan "Simmba" serta pengalaman yang ditimba daripadanya membuatkan saya suka kedua-dua filem tersebut sama rata.

"Saya juga teringin untuk bekerjasama dengan Sanjay Leela Bhansali bagi sebuah filem sejarah, filem berkait dengan situasi urban, komedi romantik, filem masala dan mungkin juga mencuba filem aksi dan thriller," ujar Sara.

Anak kepada pasangan Saif Ali Khan dan Amrita Singh itu berkata pengalaman menceburi dunia Bollywood memberi peluang kepadanya untuk mencuba perkara baru yang tidak pernah dilakukan dalam kehidupan harian.

Baginya, pengalaman paling menarik dalam lakonan adalah dapat menjadi seseorang yang berbeza dari diri sendiri serta menceritakan kisah karakter tersebut.

Laporan dari India Today mengatakan Sara sangat menggemari karakternya dalam "Kedarnath" serta skrip filem tersebut yang menarik di mana ia telah dihasilkan oleh penulis Kanika Dhillon.

Dalam perkembangan terbaru, Sara akan membintangi sekuel filem "Love Aaj Kal" arahan Imtiaz Ali. Sara akan digandingkan sebagai pasangan kekasih bersama aktor Kartik Aaryan.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

Sumber artikel: India Today
Sumber foto: Puma India