Jika kebanyakan pelakon enggan menyertai sesi uji bakat filem, lain pula bagi aktres baru Radhika Madan yang memberitahu perkara itu menambah keyakinan dalam dirinya.

Menurut aktres yang membuat debut menerusi filem komedi "Pataakha" itu, dia tidak mempunyai masalah untuk menyertai uji bakat, malah berasa lucu apabila terdapat pengarah yang terkejut akan keinginannya.

"Saya gemar menyertai uji bakat kerana saya berasa yakin untuk membawa sesuatu watak itu dan penerbit juga akan menyedari kebolehan saya.

"Selepas "Pataakha" dan "Mard Ko Dard Nahin Hota", ada pengarah uji bakat yang bertanyakan jika saya benar-benar ingin menyertai uji bakat bagi filem mereka," ujarnya yang dipetik dari Bollywood Hungama.

Dalam pada itu, Radhika berpendapat bahawa para pelakon yang enggan menyertai uji bakat adalah kerana berasa kurang yakin dan ego dalam diri.

Terkini, Radhika sedang meraikan penglibatannya dalam filem baru "Angrezi Medium", yang mana dia berpeluang untuk berkongsi skrin dengan aktor terkenal Irrfan Khan dan Kareena Kapoor Khan.

Kutipan filem terbitan Dinesh Vijan itu mencatat angka yang agak memuaskan sejak ia ditayangkan pada 13 Mac. Para penonton dan pengkritik filem turut memberi maklum balas yang baik.

Walau bagaimanapun, tayangannya terpaksa dihentikan buat sementara waktu berikutan penutupan semua panggung wayang di India akibat penularan wabak COVID-19.

"Angrezi Medium" bakal kembali menghiburkan penonton di pawagam sejurus situasi kembali terkawal.

Dalam perkembangan lain, Radhika kini sedang terlibat dengan penggambaran filem "Shiddat" bersama aktor Sunny Kaushal, yang diterbitkan Dinesh Vijan dan Bhushan Kumar.

(Sumber: Bollywood Hungama)
(Sumber foto: Radhika Madan Instagram)