Hujan lebat yang melanda bandar Mumbai baru-baru ini telah mengakibatkan set filem komedi romantik lakonan Shilpa Shetty, "Nikamma", mengalami kerosakan pada Jumaat lalu.

Kejadian itu berlaku ketika para pelakon termasuk Shilpa, Abhimanyu Dassani serta aktres debut Shirley Setia dalam industri Bollywood, sedang sibuk menjalani penggambaran.

Memikirkan tiada cara lain, pengarah Sabbir Khan terpaksa menangguhkan jadual penggambaran buat sementara waktu untuk memberi ruang kepada kerja-kerja pembaikkan semula set tersebut.

"Penggambaran dijalankan di tiga lokasi berbeza iaitu di Pulau Madh, Garden Retreat di Kandivali dan Ellora Studios di Jalan Mira.

"Kami telah membina isi bagi sebuah rumah untuk penggambaran di Pulau Madh, namun semuanya musnah akibat hujan lebat.

"Kami mempunyai baki seminggu lagi untuk menamatkan jadual penggambaran, namun ianya terpaksa ditangguhkan buat masa sekarang," ujar pengarah itu yang dipetik dari Mid-day.

Menurutnya lagi, kos kerosakan masih belum diketahui namun pihak produksi bernasib baik kerana set mereka akan ditanggung oleh pihak insurans.

Filem "Nikamma" menandakan kemunculan semula Shilpa selepas 13 tahun dia berehat dari membabitkan diri dalam industri Bollywood. Kali terakhir dia dilihat adalah menerusi filem "Life In A... Metro" dan "Apne".

Diterbitkan oleh kerjasama Sony Pictures dan Shabbir Khan Films, "Nikamma" akan menemui penonton di pawagam pada musim panas 2020 di India.

(Sumber foto: Begada)

(Sumber artikel: Mid-day)