Bintang terkenal Shah Rukh Khan menganjurkan sebuah pertandingan filem seram bagi membuka peluang buat para pembikin filem baru menonjolkan bakat mereka.

Ia merupakan satu usaha Shah Rukh Khan untuk mempromosikan siri web terbaru berjudul "Betaal" yang diterbitkan oleh produksinya Red Chillies Entertainment selepas "Bard of Blood" (2019).

"Memandangkan kita semua mempunyai banyak masa terluang dalam tempoh kuarantin, saya terfikir yang kita semua boleh bekerja, dalam cara yang menyeronokkan, kreatif dan menyeramkan!" tulisnya di media sosial.

Walau bagaimanapun, susulan pandemik COVID-19 dan Perintah Berkurung di India, sesi penggambaran hanya perlu dijalankan di kediaman masing-masing.

Antara syarat yang disertakan ialah ialah peserta boleh menggunakan sebarang kamera yang boleh merakam video dan peralatan yang boleh digunakan untuk membangkitkan suasana seram.

Jika peserta ingin menyertakan beberapa individu dalam filem masing-masing, diingatkan supaya setiap orang mengamalkan penjarakan sosial.

Sehubungan dengan itu, para peserta perlu menghantar penyertaan masing-masing kepada alamat emel yang disediakan selewat-lewatnya pada 18 Mei ini.

Shah Rukh Khan akan memilih tiga pemenang bertuah untuk menyertai panggilan video istimewa bersamanya serta empat juri yang terlibat iaitu Patrick Graham, Viineet Kumar, Aahana Kumra dan Gaurav Verma.

(Sumber: Shah Rukh Khan Twitter)
(Sumber foto: Shah Rukh Khan Instagram)