Selepas Shah Rukh Khan mendedahkan bahawa dia bakal kembali dengan filem terbaru, kini terdapat laporan mengatakan dia akan berkolaborasi dengan pengarah Atlee Kumar bagi sebuah filem Masala.

Atlee merupakan seorang pengarah terkenal dalam industri filem Tamil yang telah membuat debut menerusi filem "Raja Rani" sekaligus menobatkannya sebagai Pengarah Debut Terbaik bagi Anugerah Vijay.

"Shah Rukh Khan telah membaca pelbagai skrip filem. Dia juga banyak berbincang dengan Ali Abbas Zafar namun filem mereka tidak akan direalisasikan buat masa ini atas sebab-sebab tertentu. Ali juga sedang sibuk dengan siri web "Tandav"

. "Selain itu, filem Atlee yang dibintangi Vijay, "Bigil" akan ditayangkan dalam masa terdekat. Pengarah itu akan menghasilkan sebuah lagi filem bersama Vijay pada Disember namun projek itu turut ditangguhkan.

"Filem Atlee bersama Shah Rukh Khan pula merupakan sebuah cerita asli dan bukanlah 'remake' filem "Mersal" atau "Theri". Atlee telahpun menyiapkan skripnya dan ia akan menjadi sebuah filem besar yang padat dengan aksi," dedah satu sumber terdekat.

Menurut laporan yang dipetik dari Bollywood Hungama lagi, jika tiada sebarang halangan, projek filem itu akan diteruskan selepas ia ditandatangani Shah Rukh Khan, yang telah memberi maklum balas positif serta mempercayai visi Atlee.

Projek filem itu bakal diterbitkan di bawah syarikat produksi milik Shah Rukh Khan iaitu Red Chillies Entertainment dan Atlee akan dibayar sebanyak RM1.2 juta jika ia direalisasikan.

(Sumber foto: Filmfare)

(Sumber artikel: Hindustan Times)