Penantian para peminat 'King of Bollywood' Shah Rukh Khan untuk melihatnya kembali berlakon akhirnya tamat apabila Shah Rukh Khan dilaporkan bakal ke set penggambaran filem terbarunya, "Pathan" pada November ini.

Menurut laporan dari Bollywood Hungama, buat masa ini projek filem itu masih berada dalam proses pra-produksi, di mana kumpulan produksi masih membincangkan skrip, lokasi penggambaran, dan watak.

"Proses pra-produksi masih lagi diperbincangkan menerusi panggilan video yang dilakukan setiap hari. Shah Rukh Khan telah pun bersedia untuk terlibat dengan penggambaran watak terbesarnya pada hujung tahun ini.

"Asalnya dia akan terlibat dengan penggambaran filem arahan Rajkumar Hirani, namun Hirani memerlukan lebih masa untuk menyiapkan skrip filemnya," dedah satu sumber.

Tambah sumber itu lagi, projek filem Hirani dijangka hanya akan siap sepenuhnya pada separuh masa kedua 2022 memandangkan perjalanan projeknya masih panjang sebelum mula proses pra-produksi.

Buat makluman lanjut, "Pathan" merupakan filem pertama Shah Rukh Khan yang akan ditayangkan selepas dua tahun. Filem terakhir lakonannya adalah "Zero" (2018), yang gagal meraih sambutan hingga menyebabkan Shah Rukh Khan undur diri dari industri buat sementara waktu.

Dalam pada itu, Shah Rukh Khan dilaporkan bakal digandingkan semula dengan aktres terkenal, Deepika Padukone untuk filem "Pathan", namun ia masih belum disahkan oleh pihak penerbit.

Diterbitkan oleh Aditya Chopra di bawah studio produksi Yash Raj Films, "Pathan" dijangka tayang pada penghujung tahun 2021.

(Sumber: Bollywood Hungama)
(Sumber foto: Sandi Mann Pinterest)