Selepas muncul khabar angin yang mengatakan bintang terkenal Shah Rukh Khan bakal kembali beraksi di hadapan kamera, kini muncul lagi satu khabar angin yang mengatakan aktor itu akan berkolaborasi dengan Aanand L Rai dan Katrina Kaif untuk filem terbaru.

Bagaimanapun menurut laporan dari Bollywood Hungama, pembabitan Shah Rukh Khan kali ini bukanlah sebagai pelakon sebaliknya sebagai penerbit apabila produksi miliknya iaitu SRK Red Chillies dan Colour Yellow Productions milik Aanand L Rai akan menerbitkan sebuah 'remake' komedi jenayah dari filem Korea berjudul "Miss and Mrs. Cops".

"Katrina Kaif kali terakhir muncul dengan filem adalah menerusi "Bharat" bergandingan dengan Salman Khan, dan kali ini dia akan menerajui sebuah filem Hindi 'remake' dari filem komedi jenayah iaitu "Miss and Mrs. Cops".

"Filem ini akan mempunyai dua watak utama wanita dan ia dilaporkan bakal diarahkan oleh Anirudh Ganapathy, yang pernah berkerja dengan Aanand L Rai dalam satu tempoh yang lama," ujar satu sumber.

Tambah sumber itu lagi, terdapat juga spekulasi yang mengatakan aktres Vidya Balan berkemungkinan akan menjadi seorang lagi peneraju wanita itu selain Katrina.

Bagaimanapun sehingga kini, penerbit dan pelakon tersebut sehingga kini masih lagi membuat pengesahan atau sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

Kali terakhir Shah Rukh Khan, Aanand L Rai dan Katrina Kaif berkerjasama adalah menerusi filem aksi "Zero".

(Sumber: Bollywood Hungama)

(Sumber foto: Bollywood Hungama)