Bintang ternama Shah Rukh Khan telah membeli hakcipta bagi filem klasik pecah panggung "Damini" (1993) bagi membolehkan aktor veteran Sunny Deol membikin 'remake' filem tersebut.

Menurut laporan dari Mumbai Mirror, Shah Rukh Khan telah pergi ke kediaman Sunny sebelum Perintah Berkurung dilaksanakan untuk memberi sendiri hakcipta yang dibeli daripada penerbit "Damini" iaitu Aly dan Karim Morani.

Difahamkan sebelum ini Sunny pernah meluahkan hasrat untuk membikin 'remake' filem itu bersama anaknya Karan Deol sebagai watak utama.

Walau bagaimanapun, Sunny tidak dapat meneruskan projeknya memandangkan filem itu berada di bawah hakcipta terpelihara syarikat produksi Shah Rukh Khan iaitu Red Chillies Entertainment.

Buat pengetahuan lanjut, terdahulu hubungan Shah Rukh Khan dan Sunny dikatakan agak renggang selepas mendedahkan dia tidak berpuas hati dengan watak hero dibiarkan mati dalam filem "Darr" yang dibintanginya bersama Shah Rukh Khan.

Selepas filem "Darr", Sunny mengakui kedua-dua mereka tidak lagi bertemu mahupun berhubung, namun kini persahabatan mereka kembali terjalin setelah lebih dua dekad.

Berbalik kepada "Damini", filem arahan Rajkumar Santoshi itu pernah dilabel sebagai filem keenam dengan kutipan paling tinggi pada tahun 1993 dan dinobatkan sebagai filem terbaik oleh Box Office India.

Diterajui oleh aktres Meenakshi Seshadri, "Damini" memaparkan kisah perjuangan seorang wanita dalam menentang masyarakat untuk memperjuangkan hak keadilan golongan wanita.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Golden Globes, Cinestaan)