Jika baru-baru ini para peminat bintang Bollywood terkenal Shah Rukh Khan dan Salman Khan dikejutkan dengan spekulasi bahawa mereka akan sertai Aamir Khan dalam "Laal Singh Chaddha", kini kedua-duanya dilaporkan akan tampil dalam sekuel filem Hrithik Roshan, "War".

Para pembikin filem sedang merancang untuk mewujudkan sebuah alam sinematik berkisarkan tentang ejen-ejen bersama Shah Rukh Khan, Salman Khan, Katrina Kaif, Hrithik Roshan dan Deepika Padukone.

Difahamkan selepas tamat penggambaran filem barunya "Pathan", Shah Rukh Khan bakal terlibat dengan penggambaran antara filem Rajkumar Hirani atau Atlee pada Ogos 2021.

"Walaupun filem Atlee adalah keutamaannya buat masa ini, namun dia turut teruja untuk terlibat dengan filem drama sosial Hirani, memandangkan ia adalah gabungan antara dua filem aksi berskala besar.

"Namun begitu, Hirani akan mengambil masa untuk menyiapkan sebuah skrip dan gambaran jelas tentang filem itu hanya akan didedahkan pada pertengahan 2021.

"Buat masa ini, skrip filem itu sedang ditulis oleh Raju dan Kanika Dhillon, di mana mereka sedang menyiapkan separuh kedua daripadanya," ujar sumber yang dipetik dari Bollywood Life.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang butiran yang disahkan oleh pihak produksi mahupun mana-mana aktor terkenal itu buat masa ini.

Ketika Shah Rukh Khan sedang sibuk dengan "Pathan", Salman Khan pula sedang membuat persiapan untuk filem ketiga dari francais "Tiger".

(Sumber: Bollywood Life)
(Sumber foto: Times Now News & XYZ News)