Selesai penggambaran filem epik fantasi "Brahmastra" pada beberapa bulan lalu, kini 'Badshah Bollywood' Shah Rukh Khan bakal kembali bekerja untuk projek filem baru, "Pathan" bermula November ini.

Lebih menarik, filem arahan Siddharth Anand itu akan menggandingkan Shah Rukh Khan dengan rakan pelakonnya, Deepika Padukone selepas filem ikonik "Om Shanti Om".

Sehubungan dengan itu, ia juga menandakan kerjasama pertama Shah Rukh Khan dengan bintang filem aksi, John Abraham.

Memetik laporan India Today, jadual pertama akan berlangsung dalam tempoh lebih kurang dua bulan, yang mana ia memfokuskan babak-babak Shah Rukh Khan dan dijangka selesai sebelum cuti tahun baru.

"Deepika Padukone dan John Abraham, yang menggalas watak antagonis, akan terbabit dengan penggambaran jadual kedua seperti ditetapkan iaitu pada Januari 2021.

"Seperti filem Siddharth yang sebelumnya, "War", "Pathan" juga akan padat dengan drama dan aksi. Memandangkan ini filem pertama Shah Rukh Khan bersama John Abraham, Siddharth telah sediakan babak-babak dramatik untuk mereka.

"Pihak produksi juga telah mengupah pengarah aksi Parvez Shaikh, yang sebelum ini bekerjasama untuk "War", "Brahmastra" dan "Bell Bottom" untuk menghasilkan babak pertarungan hebat antara mereka," dedah satu sumber.

Semestinya para peminat tidak sabar menantikan kemunculan semula Shah Rukh Khan dalam filem memandangkan dia sudah lama berehat susulan kegagalan filem "Zero" yang ditayangkan dua tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Shah Rukh Khan membuat penampilan istimewa dengan gaya rambut terbarunya dalam video lagu tema Liga Perdana India baru-baru ini.

(Sumber: India Today)
(Sumber foto: The Guardian, Filmfare, SocialNews.XYZ)