Biarpun perkahwinan antara bintang Bollywood Shah Rukh Khan dan Gauri Khan sudah mencecah lebih tiga dekad, namun hubungan suami isteri itu kekal utuh hingga ke hari ini.

Seperti sedia maklum, pasangan selebriti itu menganut agama berbeza, di mana Shah Rukh Khan beragama Islam dan Gauri beragama Hindu. Namun, ia tidak menjadi batu penghalang cinta mereka.

Walaupun keluarga Gauri pernah menentang keputusan mereka untuk berkahwin, namun Shah Rukh Khan berjaya meyakinkan mereka dan akhirnya pasangan itu selamat disatukan pada 1991.

Menerusi sebuah temu bual yang dipetik dari Times of India, Shah Rukh Khan mengimbau kembali detik lucu di mana dia melakukan 'prank' terhadap keluarga Gauri ketika majlis resepsi mereka berlangsung.

Difahamkan keluarga Gauri pada ketika itu berspekulasi jika dia akan menukar agamanya setelah berkahwin dengan Shah Rukh Khan.

Bintang filem "Don" itu kemudiannya meminta Gauri untuk menyarungkan burkha dan membaca namaz di hadapan semua tetamu. Malah dia turut memberitahu Gauri akan menukar nama kepada Ayesha.

Shah Rukh Khan mengakui dia berasa seronok apabila mengimbau detik itu, namun apa yang penting baginya adalah pengajaran supaya kita menghormati agama individu lain.

Shah Rukh Khan dan Gauri dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aryan Khan, Suhana Khan dan AbRam Khan.

(Sumber foto: Tribune News)