Bintang Bollywood Shah Rukh Khan telah dianugerahkan segulung Ijazah Kepujian Kedoktoran oleh Universiti La Trobe di Festival Filem India Melbourne (IFFM), Australia.

Ijazah yang diterimanya itu adalah atas usaha bagi membantu kanak-kanak kurang berkemampuan, dedikasinya terhadap memperjuangkan hak wanita melalui pertubuhan MEER Foundation serta kejayaannya dalam industri hiburan India.

"Saya bangga diberi penganugerahan oleh sebuah universiti hebat seperti La Trobe yang mempunyai hubungan dengan budaya India dan rekod prestasi dalam memperjuangkan hak wanita.

"Saya juga berasa sangat bertuah menerima ijazah ini dan ingin mengucapkan terima kasih kepada La Trobe kerana memilih untuk mengangkat pencapaian saya dengan rendah hati," katanya dalam ucapan yang diberi di acara tersebut.

Laporan dari Mashable India menyatakan pengarah IFFM, Mitu Bhowmick berbesar hati dapat menjalankan usaha sama dengan universiti berprestij itu.

Shah Rukh Khan mendapat inspirasi untuk menubuhkan MEER Foundation daripada bapanya. Melalui organisasi itu, dia berharap untuk membantu golongan wanita yang kurang bernasib baik dengan membina rangkaian sokongan.

Pada April lalu, Shah Rukh Khan telah dianugerahkan Ijazah Kepujian Kedoktoran oleh Universiti Undang-Undang London dalam Kedermawanan.

Selain itu, Shah Rukh Khan juga pernah menerima anugerah yang sama dari Universiti Maulana Azad Kebangsaan Urdu, Universiti Edinburgh dan Universiti Bedfordshire.

Dengan adanya anugerah-anugerah berkenaan, Shah Rukh Khan menyifatkan ia sebagai satu bentuk motivasi untuk terus berusaha membantu masyarakat pada masa akan datang.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

Sumber artikel: Mashable India
Sumber foto: Newsweek