Aktor Shahid Kapoor mendedahkan dia teringin untuk mencuba sesuatu yang berbeza dari bidang lakonan memandangkan filem-filemnya sebelum ini kurang menerima sambutan.

Menurut Shahid, dia juga tidak mahu orang ramai menganggap dia hanya menerima tawaran filem 'remake' sahaja dan tidak merancang untuk membintangi filem sebegitu selepas filem "Kabir Singh".

"Saya ingin berlakon dalam filem asli jadi orang ramai tak anggap saya hanya terima filem 'remake'. Walau bagaimanapun, apabila saya menonton "Jersey", ia menyentuh hati saya... empat kali saya menangis menontonnya.

"Karakter itu berbeza dari Kabir Singh. Dia pendiam dan suka menyendiri tetapi kekuatan dan perjalanan hidupnya merupakan inspirasi buat saya.

"Saya rasa saya patut sampaikan cerita ini kepada orang ramai kerana saya pernah lalui zaman kejatuhan di mana saya rasa saya patut cuba sesuatu yang lain dari berlakon. Namun lakonan adalah sesuatu yang saya minat," katanya yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Filem "Jersey" merupakan sebuah 'remake' filem Telugu sama judul arahan Gowtam Tinnanuri, yang juga bertindak sebagai pengarah bagi filem asal.

Diterbitkan oleh Allu Aravind dan Dil Rajum, "Jersey" dijadual untuk ditayangkan bermula 28 Ogos 2020.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Femina Wedding Times)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)