Selepas "Kabir Singh", para peminat teruja menantikan filem terbaru lakonan aktor Shahid Kapoor yang juga sebuah 'remake' versi Hindi kepada filem sukan Telugu berjudul "Jersey".

Menerusi laporan terbaru dari Mumbai Mirror, bapa kepada aktor itu, Pankaj Kapoor, akan disatukan semula dengan Shahid selepas empat tahun menerusi filem tersebut.

Seperti yang diketahui, Shahid akan menggalas watak seorang atlet kriket, sementara Pankaj pula diberi tanggungjawab untuk membawa watak mentor dan tulang belakang kepada anaknya itu.

Menurut Pankaj, dia berasa teruja kerana berpeluang untuk melibatkan diri dalam "Jersey", yang disifatkan sebagai filem yang penuh dengan emosi.

"Saya berasa seronok bekerja dengan Shahid. Jujur, saya kagum dengan keupayaannya untuk menyampaikan kepelbagaian emosi watak dengan sangat bagus," ujarnya.

Sebelumnya, kedua anak beranak tersebut telah digandingkan bersama menerusi filem komedi romantik "Shaandaar" 2015 dan "Mausam" 2011.

Dalam pada itu, pengarah Gowtam Tinnanauri turut meluahkan keterujaannya untuk mengarah dan bekerja dengan aktor veteran itu serta memuji pembawaan wataknya sebagai mentor dengan jayanya.

Beralih ke perkembangan baru, Shahid yang telah membuat persiapan selama dua bulan di Mumbai kini bakal berangkat ke Chandigarh untuk menjalani penggambaran pada minggu hadapan.

Turut dibintangi aktres Mrunal Thakur, "Jersey" akan ditayangkan di pawagam pada 28 Ogos 2020.

(Sumber foto: Pop Sugar & Rediff)

(Sumber artikel: India Today)