Pelakon dan pengarah Sharifah Amani nyata teruja apabila bintang terkenal Bollywood iaitu Kajol membalas pertanyaannya di laman Twitter baru-baru ini.

Menerusi laman Twitter rasmi Sharifah atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, dia turut serta dalam #AskKajol yang mana dia bertanyakan karakter paling dia suka lakonkan sepanjang kariernya.

"Karakter kegemaran saya adalah Anjali. Ia sama seperti diri saya," jawab Kajol.

Teruja dengan jawapan oleh Kajol, pelakon "Pekak" itu memuat naik tangkap layar jawapan itu dengan berkata; "Korang, kakak Kajol balas pertanyaan saya."

Perkongsian Sharifah atau lebih mesra dengan panggilan Nani ini mendapat lebih 40,000 tanda 'like' dan lebih 20,000 komen.

Dalam perkembangan lain, Nani bakal muncul dengan dua buah filem terbaru iaitu "Zombitopia" dan "Sekolahaha" tidak lama lagi.

Terdahulu, filem "Zombitopia" dijadualkan ditayangkan pada bulan Mac lalu, namun terpaksa ditunda ke tarikh baru berikutan pandemik COVID-19.

(Sumber foto: Sharifah Amani Instagram)