Sebagai bintang veteran, Sharmila Tagore sudah lama makan garam dengan segala perubahan dan perkara yang berlaku dalam industri perfileman Bollywood.

Malah, aktres berusia 77 tahun itu pernah menjadi aktres Bollywood pertama yang menjayakan sesi bergambar bikini bagi menghiasi muka hadapan majalah terkenal, Filmfare pada 1966.

Biarpun sudah lebih lima dekad, namun pengalaman itu masih segar dalam ingatan Sharmila, yang memberitahu gaya hidupnya sentiasa bertentangan dengan norma budaya.

Memetik laporan dari Times of India, Sharmila tidak menafikan bahawa orang ramai telah mempersoalkan tindakannya yang berani menayangkan kulit di khalayak ramai pada ketika itu.

"Pemikiran masyarakat sangat kolot pada ketika itu! Saya tak pasti mengapa saya jayakan sesi bergambar itu. Ia berlaku tidak lama sebelum saya berkahwin.

"Saya ingat lagi ketika saya tunjukkan sepasang bikini kepada jurugambar dan dia bertanya jika saya benar-benar pasti untuk melakukannya. Malah dalam beberapa foto, dia meminta saya menutup tubuh saya.

"Dia lebih bimbang daripada saya tetapi saya tiada masalah untuk jayakan sesi bergambar itu. Hanya apabila orang ramai mula memberi reaksi, saya terkejut. Saya pelik kenapa mereka tak sukakan gambar itu," katanya.

Tambah aktres filem "Mann" itu lagi, orang ramai mengkritik tindakannya dan mengatakan dia sengaja cuba menarik perhatian.

Bagaimanapun, dia menafikan perkara itu dan mengatakan dia masih muda serta ingin mencuba perkara baru.

Untuk rekod, Sharmila pernah membintangi filem-filem Hindi seperti "Talash", "Mere Humsafar", "Safar", "Dastaan" dan "Viruddh... Family Comes First" sebelum bersara selepas menjayakan filem terakhirnya, "Break Ke Baad" pada 2010.

Sharmila telah berkahwin dengan bekas atlet kriket, Mansoor Ali Khan Pataudi dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu aktor Saif Ali Khan, Soha Ali Khan dan Saba Ali Khan.

(Sumber foto: India Today & Filmfare)