Filem animasi Disney "Frozen 2" telah pun ditayangkan baru-baru ini di seluruh dunia, dan ia turut dirilis dalam versi Hindi yang menampilkan bintang terkenal Priyanka Chopra Jonas dan Parineeti Chopra.

Penonton sedia maklum bahawa Priyanka menggalas watak Ratu Salji Elsa, sementara sepupunya Parineeti sebagai Anna, namun tidak ramai yang tahu mereka tidak menyanyi dalam filem animasi tersebut.

Buat pengetahuan lanjut, nyanyian Anna merupakan suara nyanyian artis baru dalam Bollywood, Sharvi Yadav, sementara suara nyanyian Elsa disumbangkan oleh Sunidhi Chauhan.

"Apabila dapat tahu saya akan menyanyi dalam "Frozen 2" sebagai Anna, saya sangat teruja kerana saya sudah menonton "Frozen" ketika saya baru sahaja menamatkan pengajian.

"Saya tidak pernah bermimpi untuk menyanyi dalam sekuelnya. Kemudian saya dapat tahu Sunidhi Chauhan adalah suara Elsa dalam filem itu. Saya tak dapat gambarkan perasaan saya ketika itu.

"Saya pernah bertemunya dalam sebuah sesi nyanyian dan kini saya dapat bekerjasama dengan idola saya. Tercapai juga impian saya," ujar Sharvi yang dipetik dari Times of India.

Untuk rekod, Sharvi merupakan juara rancangan realiti "Stage" pada 2017 yang telah membuat debut nyanyian dalam industri Bollywood pada tahun lalu menerusi filem "Veere Di Wedding".

"Frozen 2" kini ditayangkan di pawagam seluruh dunia, dan di India, ia boleh ditonton dalam versi Inggeris, Tamil, Hindi dan Telugu.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Sharvi Yadav Instagram)
(Sumber artikel: Times of India)