Pengarah filem adiwira klasik "Mr. India" (1987) Shekhar Kapur melarang projek pembikinan sekuel filem itu diteruskan tanpa mendapatkan kebenaran secara rasmi terlebih dahulu.

Semua ini timbul gara-gara selepas pengarah Ali Abbas Zafar mengumumkan bahawa dia telah diberi tanggungjawab untuk mengarah 'remake' "Mr. India" yang bakal diterbitkan dalam trilogi.

"Tiada siapa pernah bertanya atau memberitahu saya tentang filem "Mr. India 2". Saya jangka mereka gunakan judul ini untuk meraih perhatian.

"Walau apapun, mereka tidak dibenarkan menggunakan watak atau cerita asal tanpa kebenaran daripada pembikin asal filem ini," ujar Shekhar yang dipetik dari Bollywood Hungama.

Buat masa ini, penerbit Boney Kapoor yang sudah lama merancang untuk menerbitkan 'remake' "Mr. India" masih belum membalas pernyataan yang dikeluarkan oleh Shekhar.

Dalam pada itu, terdapat juga laporan mengatakan bintang terkenal Shah Rukh Khan menafikan yang dia akan membintangi 'remake' itu sebagai watak antagonis Mogambo.

Seperti yang dimaklumkan oleh Ali, projek 'remake' filem itu dijangka akan bermula pada awal tahun hadapan selepas skripnya disiapkan dan sesi uji bakat selesai dijalankan.

(Sumber: Bollywood Hungama)
(Sumber foto: Deccan Herald)