Baru-baru ini, aktres Shilpa Shetty mendedahkan bahawa dia telah bersedia untuk membuat kemunculan semula di layar perak selepas berehat dari lakonan selama 13 tahun.

Berikutan perkara itu, dia telah mengumumkan judul bagi filem komedi romantik berkenaan iaitu "Nikamma" menerusi foto yang dimuat naik di laman Instagram miliknya baru-baru ini.

Filem yang diarahkan oleh Sabbir Khan itu turut menampilkan Abhimanyu Dassani serta penyanyi YouTube berasal dari Auckland, New Zealand iaitu Shirley Setia.

"Saya sangat teruja dan bersedia untuk kembali beraksi. Ia merupakan sebuah projek yang unik dan saya tidak sabar untuk bekerja dengan Sabbir.

"Saya sangat sukakan watak saya memandangkan saya tidak pernah mencubanya sebelum ini. Saya tidak sabar melihat penonton menyaksikan saya kembali dengan watak baru," ujarnya menerusi laporan dari The Indian Express.

Sabbir memberitahu bahawa Shilpa adalah nama besar diminati ramai jadi dia mahukan watak penting untuk kemunculan semula.

"Watak Shilpa agak penting dalam filem ini dan saya berasa senang dapat bekerjasama dengan dia dan serta menampilkan dia semula buat peminat yang merindukan lakonannya," kata Sabbir.

"Nikamma" diterbitkan oleh syarikat produksi Sony Pictures International Productions dan Sabbir Khan Films dan bakal ditayangkan pada 2020.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber artikel: The Indian Express)
(Sumber foto: Shilpa Shetty Instagram)