Selepas mengumumkan berita baik buat para peminat mengenai kemunculan semula di layar perak menerusi filem "Nikamma", aktres Shilpa Shetty kini berkongsi tarikh rilis filem tersebut.

"Saya sangat teruja untuk mengumumkan bahawa "Nikamma" akan dirilis pada 5 Jun 2020. Ianya satu pengalaman menarik dapat bekerja dengan Sabbir Khan, Abhimanyu Dassani dan Shirley Setia.

"Tidak sabar menantikan tayangan filem ini buat anda semua! Jumpa anda di pawagam!" ujarnya menerusi kapsyen foto penampilan pertama filem "Nikamma" yang dimuat naik menerusi laman Instagram.

Seperti yang dilaporkan oleh Mumbai Mirror, filem itu menandakan debut lakonan bagi penyanyi New Zealand, Shirley dan debut penerbit buat Sabbir yang turut bertindak sebagai pengarah.

""Nikamma" telah memberi peluang buat saya bekerjasama dengan muka-muka baru dan memberi platform untuk memperkenalkan bakat mereka.

Ia juga menandakan penglibatan saya sebagai penerbit buat pertama kali dengan kolaborasi Sony Pictures jadi saya teruja untuk menyampaikan filem ini kepada anda," kata Sabbir.

Dalam pada itu, pihak produksi kini sedang menjalankan jadual kedua penggambaran di Lucknow sejak November lalu, setelah menamatkan jadual pertama pada Julai.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Femina)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)