Selepas selesai menjalani penggambaran, Shraddha Kapoor gembira dapat bercuti di Austria bersama produksi filem "Saaho".

Seluruh produksi filem itu difahamkan baru sahaja menamatkan penggambaran sebuah lagu romantik sekaligus menamatkan jadual keseluruhan penggambaran tersebut.

Mereka telah menaiki kereta kabel untuk ke destinasi penggambaran dan dilaporkan terkandas di ketinggian 1,368 meter. Prabhas dikatakan menenangkan mereka pada ketika itu.

Laporan dari IndiaToday menyatakan mereka amat menikmati pengalaman berada di sana dan turut berkongsi beberapa foto menerusi laman Instagram.

Selain dari lagu romantik, pengarah Sujeeth merancang untuk memfilemkan sebuah babak yang padat dengan aksi lagak ngeri di sebuah resort di Solden yang bersalji.

Terdapat laporan yang mengatakan Sujeeth berasa sedikit tertekan memandangkan tarikh tayangan filem itu semakin hampir.

"Saya tiada masalah untuk mengarah bintang terkenal seperti Prabhas. Dia mempunyai kepercayaan terhadap kerja saya dan itulah perkara yang paling penting bagi saya.

"Tambahan lagi, para penerbit dan seluruh produksi memberi keyakinan terhadap saya namun dengan tarikh rilis yang semakin hampir, saya dapat rasakan debarannya," jelas pengarah itu.

Selain Shraddha dan Prabhas, filem itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Neil Nitin Mukesh, Arun Vijay, Jackie Shroff, Lal dan Mandira Bedi.

"Saaho" merupakan filem terbitan UV Creations dan akan ditayangkan di skrin lebar pada 15 Ogos akan datang.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

Sumber artikel: India Today
Sumber foto: IB Times India