Genap sepuluh tahun berkecimpung dalam lakonan, aktres Shruti Haasan mendedahkan dia telah memberi fokus kepada karier muziknya sepanjang setahun berehat.

Sebelumnya, Shruti telah membuat keputusan untuk berehat dari bidang lakonan selepas selesai penggambaran filem Telugu "Katamarayudu" bersama Pawan Kalyan.

"Menjalani penggambaran untuk filem itu adalah pengalaman yang tidak boleh dilupakan tetapi sejujurnya saya berasa saya perlu berundur diri buat seketika untuk mendapatkan perspektif yang lebih baik terhadap karier saya.

"Sudah tentu ramai yang tidak memahami keputusan saya ketika itu. Bagi mereka, saya telah membuat keputusan yang tidak kena pada masa memandangkan saya telah menerima banyak tawaran filem Tamil dan Telugu," ujarnya.

Aktres itu mengakui ia adalah keputusan yang sukar untuk dibuat namun dia perlu meneruskannya atas sebab ingin memperbaiki dirinya.

Tambahnya lagi, sepanjang tempoh dia berehat, sekalipun tidak terlintas di fikirannya untuk berlakon dalam filem atau membuat perancangan masa depan kerana hanya memberi fokus kepada karier muziknya.

Menurut laporan yang dipetik dari Mumbai Mirror, kali terakhir aktres itu beraksi di layar perak adalah menerusi filem Tamil "Singam 3" yang diterbitkan pada 2017.

Shruti membuat debut dalam bidang muzik seawal usia enam tahun menerusi filem Tamil bapanya Kamal Haasan, yang berjudul "Thevar Magan" pada tahun 1992.

Selain itu, dia juga pernah menyumbang suara dalam lagu popular filem "Chachi 420" yang diberi judul "Chupadi Chupadi Chaachi".

Terbaru, dia sedang giat berlatih sebagai persiapan bagi siri televisyen antarabangsa "Treadstone". Siri yang penuh dengan lagak aksi itu diinspirasikan dari alam sinematik Jason Bourne.

Dia juga baru sahaja menandatangani projek filem bersama Vijay Sethupathi yang berjudul "Laabam". Jadual pertama penggambaran filem arahan SP Janannathan itu baru sahaja selesai pada beberapa bulan lalu.

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)

(Sumber foto: Tamil Next)