Aktres popular Sonakshi Sinha baru sahaja muncul dengan filem aksi terbarunya iaitu "Dabangg 3" menyaksikan dia kembali menghidupkan watak asalnya sebagai Rajjo, bagaimanapun kutipan memberasangkan pada minggu pertama filem itu nyata tidak membuatkan aktres itu teruja.

Sebaliknya Sonakshi berkata berita mengenai jumlah kutipan filemnya itu tidak penting sekiranya hendak dibandingkan dengan isu protes besar-besaran yang dilakukan oleh pelajar universiti dan kolej yang menolak undang-undang baru kewarganegaraan (CAA) yang mendiskriminasi orang Islam di India.

"Kita semua tahu apa yang sedang berlaku di seluruh negara. Saya rasa orang tahu apa yang lebih penting, tetapi saya sejujurnya gembira dengan maklum balas positif penonton terhadap filem kami.

"Buat masa ini, seluruh negara telah bersatu dalam isu protes CAA, dan ia lebih penting dari mana-mana filem. Saya bersama rakyat," ujarnya yang dipetik dari Masala.

Sonakshi turut meluahkan rasa bangganya terhadap rakyat yang turun padang dalam menjayakan protes itu bagi menyuarakan pandangan mereka dan berkata pihak kerajaan tidak boleh merampas hak bersuara rakayat.

Dalam pada itu, ditanya adakah ramai bintang-bintang terkenal Bollywood mengambil pendirian untuk mengunci mulut dari memberi komen mengenai isu itu kerana takut, aktres itu menafikan perkara itu dan berkata ia adalah hak individu itu sendiri samada hendak menyuarakan pandangan mereka atau tidak.

Beralih kepada kerjaya seninya, Sonakshi membuat debutnya kira-kira sembilan tahun lalu iaitu pada tahun 2010 menerusi filem "Dabangg" yang diterajui oleh bintang terkenal Salman Khan.

(Sumber: Masala)
(Sumber foto: India Today)