Aktres Sonam Kapoor meluahkan keterujaannya untuk memulakan projek 'remake' filem Korea "Blind" versi Hindi arahan Sujoy Ghosh yang telah diumumkan pada November lalu.

Menurut laporan, Sonam mendedahkan pihak produksi telah menetapkan jadual penggambaran untuk bermula pada Jun depan jika situasi pandemik mula terkawal.

"Ia akan bermula pada Jun, saya sangat teruja untuk bekerja dalam projek ini. Saya berharap situasi akan kembali seperti biasa tidak lama lagi," ujarnya yang dipetik dari Republic World.

Tambah aktres filem "The Zoya Factor" itu lagi, sebahagian daripada 'remake' filem "Blind" akan difilemkan di London.

Seperti yang diketahui umum, Sujoy Ghosh terkenal dengan filem-filem misteri dan thriller arahannya, dan Sonam juga merupakan peminat karya-karya filem pengarah tersebut.

Walau bagaimanapun, kebanyakan butiran mengenai filem itu masih belum didedahkan oleh pihak produksi buat masa sekarang memandangkan ia masih dalam proses awal.

Beralih ke filem asal "Blind" yang ditayangkan pada 2011, ia merupakan filem thriller jenayah arahan Ahn Sang-hoon yang dibintangi oleh Kim Ha-neul dan Yoo Seung-ho.

Filem itu berkisarkan tentang seorang bekas kadet polis wanita yang buta, menjadi saksi kes langgar lari, di mana dia kemudiannya terpaksa berdepan dengan si pembunuh itu sendiri.

(Sumber: Republic World)
(Sumber foto: Bazaar India)