Sejak kematian aktor Sushant Singh Rajput pada 14 Jun lalu, kebanyakan selebriti Bollywood ternama telah menerima kecaman hebat daripada warganet termasuk aktres Sonam Kapoor sehingga dia terpaksa menutup ruangan komen di laman Instagram.

Ia berikutan sebuah video yang tular di media sosial ketika Sonam menghadiri program bual bicara Koffee with Karan pada tujuh tahun lalu, di mana dia menyatakan bahawa dia tidak mengenali Sushant.

Walau bagaimanapun, aktres itu menjelaskan bahawa video yang tular di media sosial berkenaan telah disunting dan meminta orang ramai supaya menonton video asal dari awal hingga akhir.

"Ya saya telah menutup ruangan komen saya dan ibu bapa saya kerana saya tak mahu ibu bapa saya yang berusia 64 tahun menghadapi semua ini. Mereka langsung tak bersalah. Saya lakukan ini bukan kerana takut tetapi untuk menjaga kesihatan mental saya dan ibu bapa saya.

"Orang ramai juga mahu bakal anak-anak saya dan keluarga saya mati. Video yang telah tular itu sudah tujuh tahun. Ketika itu, dia (Sushant), hanya mempunyai sebuah filem dan saya tak mengenalinya seperti mana dia tak mengenali saya.

"Silalah tonton episod di mana rakan-rakan aktor saya mungkin pernah bercakap benda yang lebih teruk tentang saya, tetapi saya memandangnya dari sudut positif seperti mana program itu diadakan. Sebagai satu gurauan," ujarnya yang dipetik dari Hindustan Times.

Sushant telah ditemui mati bunuh diri di kediamannya kerana disyaki mengalami kemurungan dan tekanan yang dilemparkan oleh industri perfileman Bollywood dan kini kes telah difailkan terhadap beberapa selebriti terkenal, termasuk Karan Johar, untuk membantu siasatan.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Vedika M)