Pembikin filem terkenal Karan Johar mempunyai pelbagai sumber inspirasi di sebalik kejayaannya dan salah seorang individu yang menjadi idolanya adalah mendiang primadona Sridevi.

Menurut Karan, ketika dia membesar di Selatan Bombay, tidak ramai yang mempunyai minat terhadap filem-filem Hindi pada zaman 80-an tetapi dia tertarik dengan cara Sridevi bersatu dengan penonton.

"Bagi saya, setiap hari Sridevi mengingatkan saya semula kepada zaman kanak-kanak saya yang meminati filem dan obsesi saya terhadap industri filem Hindi. Dia adalah sebahagian besar daripadanya dan saya merupakan peminat setianya, ujar Karan yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Dalam pada itu, Karan mendedahkan bahawa dia tidak mempunyai keberanian untuk mengarah dan bekerjasama dengan mendiang dalam sebuah filem.

"Saya rasa pasti sukar untuk saya mengarahnya dalam filem saya kerana saya terlalu meminatinya. Minat kepada seseorang itu boleh membuatkan seorang pembikin filem hilang objektif sebenarnya.

"Jadi saya berasa lega kerana tidak pernah mengarahnya kerana ia akan berakhir dengan kegagalannya, dan dia tidak layak untuk gagal," tambah Karan lagi.

Baru-baru ini, Karan telah melancarkan buku biografi berjudul "Sridevi - The Eternal Screen Goodess" yang ditulis oleh Satyarth Nayak di Mumbai beberapa hari selepas pelancarannya di Delhi.

Sejak penerbitan buku biografi itu diumumkan, ia telah menjadi buah mulut dan buku yang paling dinanti ramai. Ia mengandungi kisah di sebalik tabir kehidupan lagenda filem tersebut.

(Sumber foto: Celebrities Gallery)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)