Baru-baru ini ramai selebriti Bollywood dilihat mula mengembangkan bakat mereka ke industri Hollywood, dan salah seorang daripada mereka adalah aktor Suniel Shetty yang tampil dalam filem baru "Call Centre".

Menurut laporan Mumbai Mirror, filem itu diinspirasikan dari sebuah kisah benar mengenai seorang pegawai polis berbangsa Sikh yang merungkai kes penipuan melibatkan nilai jutaan dollar.

"Filem ini berkisar mengenai empat orang lelaki yang bekerja di sebuah pusat panggilan di India dan merompak sebuah syarikat berpangkalan Amerika Syarikat sebanyak USD381 juta.

"Walaupun beberapa agensi Amerika terlibat dengan penyiasatan kes itu, namun seorang pegawai polis India yang berjaya merungkai kes tersebut," dedah satu sumber terdekat.

Menurut sumber itu lagi, filem "Call Centre" akan turut ditayangkan dalam dua buah versi alih suara iaitu Telugu dan Hindi bagi penonton di India.

Shetty dilaporkan telah mula menjalani penggambaran filem arahan pembikin filem Cina-Amerika Jeffrey Chin itu pada September lalu di Hyderabad dan jadualnya dijangka akan berakhir pada penghujung tahun ini.

Sebelumnya, Shetty pernah tampil dalam sebuah filem British arahan Aditya Raj berjudul "Don't Stop Dreaming" 2007 yang dibintangi Rishi Kapoor, Michelle Collins dan Richard Blackwood.

Kali terakhir dilihat dalam filem Kannada "Pailwaan", Shetty juga akan membintangi filem "Hera Pheri 3" dan "Mumbai Saga" yang akan ditayangkan pada tahun 2020.

(Sumber foto: Suniel Shetty Instagram)

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)