Aktor dan penerbit Suniel Shetty memberitahu produksi filem komedi "Hera Pheri 3" masih akan diteruskan cuma akan ada beberapa perubahan berbanding filem-filem sebelumnya.

Terdahulu, produksi filem itu telah ditangguhkan buat suatu tempoh yang lama susulan beberapa isu yang timbul seperti perubahan para pelakon dan pengarah.

"Semuanya masih ditangguhkan buat masa ini. Kumpulan produksi berhasrat untuk membikin "Hera Pheri 3", tetapi beberapa perubahan perlu disusun atur terlebih dahulu.

"Siri filem ini sangat terkenal di televisyen dan juga dunia meme dan kami semua sedar akan jangkaan penonton untuk filem ini.

"Kami semua saling menghormati antara satu sama lain dan saya percaya filem ini akan dihasilkan, dan saya teruja untuk terlibat dengannya," ujarnya yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Tambah Suniel lagi, dia menjanjikan bahawa filem ini bakal menemui para peminat cuma buat masa ini dia masih tidak pasti bila ia akan disiapkan.

Selain Suniel, aktor yang akan kembali menjayakan filem arahan Priyadarshan itu ialah Akshay Kumar dan Paresh Rawal, seperti mana mereka digandingkan dalam filem "Hera Pheri" (2000) dan "Phir Hera Pheri" (2006).

Buat pengetahuan lanjut, siri filem itu kini berada di tangga ke-29 bagi carta filem Bollywood dengan kutipan paling tinggi.

Dalam perkembangan lain, Shetty sedang menantikan tayangan filem-filem terbarunya iaitu "Mumbai Saga", filem Telugu "Mosagallu" dan "Pushpa", serta filem Malayalam "Marakkar: Arabikadalinte Simham".

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: The Economic Times)